PENGENALAN
“Badan manusia ajaib, sungguhpun ia dicipta untuk hidup di daratan, manusia telah pun menyesuaikannya dengan pertolongan alatan untuk meneroka di bawah air”
APA ITU SELAM SKUBA?
Sebelum ini mungkin kita sudah tahu dan biasa dengan istilah ‘scuba’. Scuba merupakan singkatan untuk ‘Self Contained Underwater Breathing Apparatus’ yang bermakna ‘alatan pernafasan bawah air serba lengkap’. Menyelam dengan skuba dikendalikan dengan membawa sumber udara mampat di belakang kita dalam silinder skuba. Udara itu disalurkan untuk pernafasan anda melalui pelaras. Pelaras mengurangkan tekanan tinggi dalam silinder ke tekanan yang bersamaan dengan tekanan sekeliling, membolehkan kita bernafas di dalam air. Selam skuba juga dikenali sebagai ‘menyelam rekreasi’ ataupun ‘sukan menyelam’. Ini merujuk kepada selam skuba yang dikendalikan untuk bersiar-siar.
SEJARAH DAN EVOLUSI SELAM SKUBA
Sehingga hari ini, pakar sejarah sebenarnya masih tidak mengetahui siapa orang pertama yang terbabit dengan selam skuba. Ada kemungkinan teknik yang digunakan mereka ketika itu sama sebagaimana orang yang bekerja mencari tiram dan cengkerang pada zaman dahulu. Mungkin batu digunakan sebagai pemberat untuk mereka turun pantas ke dalam air. Namun, ketika itu kedalaman menyelam selalunya tidak melebihi 30 meter dan jangka masanya tidak lebih dua minit.
PERALATAN
“Jika anda mementingkan nyawa anda sendiri, jagalah semua alatan menyelam seperti diri anda sendiri”
Menyelam memerlukan banyak alatan. Semuanya mungkin mengelirukan pada mulanya dan tidak selesa bila ia dipakai di atas darat. Namun sebenarnya rekabentuk alatan ini ialah untuk keselesaan di dalam air. Lebih cepat anda turun ke dalam air, lebih cepat anda boleh merasai keselesaannya. Bahagian ini akan memperkenalkan dan menerangkan serba sedikit maklumat berkenaan dengan peralatan asas yang digunakan untuk penyelaman rekreasi.
ALATAN ASAS
Cara menyelam yang paling asas ialah selam bebas. Alatan yang diperlukan hanyalah mask, snorkel, kasut itik dan salah sejenis pelampung ataupun jaket keapungan. Oleh kerana kebanyakan alatan akan dipakai di atas badan, keselesaan dan saiz yang padan amat dititikberatkan.
Mask
Mask menyediakan satu lapisan udara antara mata dan air untuk membolehkan penglihatan di bawah air. Mask berbeza dari kanta berenang kerana mask menutupi hidung kita juga. Ini diperlukan supaya kita boleh menyamakan tekanan dengan menghembuskan udara ke dalam mask bila kita menyelam lebih dalam. Pertimbangan pertama bila memilih mask ialah ia padan dengan muka kita atau tidak. Cara untuk mengujinya ialah pegang mask pada muka anda tanpa memasang tali pemegangnya. Ambil satu nafas yang perlahan dan tahan nafas anda. Jika mask itu melekat pada muka dan tidak jatuh maka mask itu padan dan sesuai dengan anda. Cuba beberapa mask yang berlainan, mungkin ada mask yang padan dengan anda dengan lebih selesa lagi. Banyak jenis mask yang boleh dipilih dan dipadankan dengan anda. Ciri-ciri yang mesti ada termasuklah:
- Kaca keselamatan untuk elakkan kecederaan jika lensa pecah.
- Bingkai yang kukuh untuk memegang biasa.
- Tali pemegang yang belah dua untuk lebih pegangan pada kepala.
- Penutup hidung untuk membolehkan penyamaan tekanan.
Ciri-ciri lain selain daripada yang disenaraikan adalah mengikut pilihan penyelam sendiri. Antara ciri-ciri tidak wajib yang lebih digemari ramai penyelam termasuklah:
- Skirt yang mempunyai dua permukaan untuk padanan yang lebih baik
- Tingkap tepi mask untuk penglihatan yang lebih baik
- Injap pelepas untuk membantu membuang air dalam mask
- Kanta preskripsi untuk rabun mata
Sesetengah orang yang alah (alergi) pada barangan getah mestilah memilih mask silicon kerana bahan ini tidak membuat orang alergi. Setiap kali anda memakai mask sebelum menyelam anda perlu menyedia atau membersihkannnya terlebih dahulu. Ia bertujuan untuk mengelak ianya menjadi kabut dari kondensasi yang terjadi dalam mask kerana perbezaan suhu dalam mask dengan suhu persekitaran. Cara yang paling mudah ialah dengan menggunakan air ludah, sapu dan gosokkan ke atas kaca mask. Anda juga boleh menggunakan bahan pencegah kabut yang terdapat dan dijual di kedai peralatan menyelam.
Snorkel
Tanpa snorkel, anda terpaksa mengangkat kepala untuk bernafas bila anda berenang di permukaan air. Ini akan menjadikan anda penat dengan cepat. Dengan menggunakan snorkel untuk berenang di permukaan akan menolong anda menjimatkan tenaga dan juga udara dalam silinder skuba anda. Dengan snorkel anda boleh berenang dan memerhati dasar laut sama sekali. Terdapat banyak jenis snorkel. Dari jenis "J" hingga ke reka bentuk dengan ‘hose’ boleh lentur dan injap-injap khas. Juga terdapat snorkel yang berkontor dan bahagian mulut yang boleh berputar. Dua ciri paling penting untuk snorkel ialah panjang dan garisbujurnya. Snorkel tidak boleh terlalu pendek atau panjang. Ukuran yang sesuai ialah antara 12 – 14 inci (30.5 - 35.5cm). Pernafasan dengan snorkel yang terlalu panjang susah dan yang terlalu pendek pula akan sentiasa dimasuki air. Garis bujur bahagian dalam snorkel mestilah lebih kurang ¾ inci (1.9cm). Pernafasan melalui snorkel yang kecil susah dan yang terlalu besar pula susah untuk kita menggunakannya. Snorkel tidak boleh berlekuk tajam ataupun bengkok dengan berlebihan. Kebanyakan kemalangan menyelam berlaku di permukaan bila penyelam menjadi letih dan tidak dapat berenang balik ke pantai ataupun ‘boat’.
Kasut Itik ( Fins )
Tanpa kasut itik mungkin kita tidak dapat menyelam. Bila anda berada di bawah air dengan alatan skuba adalah agak sukar untuk anda berenang dengan tangan sahaja. Namun dengan kasut itik, anda boleh menggunakan otot kaki yang lebih besar dan kuat untuk berenang lebih cepat dan jauh di dalam air. Daripada jenis-jenis kasut itik yang ada, ia dibahagikan kepada dua jenis mcngikut sendengnya. Satu daripadanya menutupi seluruh kaki dan ia dikenali scbagai "kasut itik sendeng tertutup". Yang satu lagi mempunyai seutas tali pemegang, tetapi sendeng kita tetap terdedah. Jenis ini dikenali sebagai "kasut itik sendeng terbuka". Kasut itik biasanya boleh didapati dalam saiz kecil (S), sederhana (M), besar (L) ataupun lebih besar (XL). Kasut itik perlu padan dengan betul tanpa menyepit kaki ataupun mengapit jari kaki. Jika anda bercadang hendak memakai sarung kaki ataupun menyelam dengan but menyelam anda, anda mesti memadankan kasut itik anda mengikut apa yang anda pakai. Jika kasut itik anda mempunyai tali pelaras, anda boleh melekatkan bahagian yang berlebihan dengan pita untuk elakkan dari ia tersangkut pada tumbuhan bawah air atau sampah-sarap dalam air. Kasut itik juga perlu dipadankan dengan saiz seseorang itu kerana bina badan setiap orang berlainan dan kasut itik yang sama akan terasa berlainan keselesaan pada penggunaannya. Pilih kasut itik. yang selesa, tidak menyepit kaki dan anda boleh berenang menggunakannya untuk masa yang panjang tanpa meletihkan otot kaki dengan berlebihan.
But Menyelam ( Booties )
But menyelam sama seperti sarung kaki yang diperbuat dari bahan yang sama dengan baju pelindung jenis basah. Kebanyakannya mempunyai tapak yang keras untuk berjalan atas batu ataupun permukaan kasar. Ia melindungi kaki anda dari kecederaan dan tahan sejuk. Ia juga mengurangkan geseran dengan fin dan elakkan dari lecet kaki. Bila membeli but menyelam, pastikan anda padankannya dengan kasut itik anda juga. But menyelam biasanya memerlukan kasut itik yang lebih besar sesuai untuk padanan yang selesa. But menyelam biasanya memerlukan kasut itik yang lebih besar sesuai untuk padanan yang selesa. But menyelam juga mempunyai rekabentuk jenis selipar dan but yang ada ataupun tiada zip di tepi. Zip menyenangkan anda memakai but menyelam.Ketebalan bahan but menyelam terpulang pada suhu air di mana anda akan menyelam. Air yang lebih sejuk memerlukan but menyelam yang lebih tebal.
Sarung Tangan ( Gloves )
Sarung tangan amat penting untuk mengelakkan tangan anda dari tercedera. Selepas berendam lama dalam air. Kulit tangan anda menjadi lebih lembut dan senang tercedera. Karang-karang dalam laut juga sanget tajam strukturnya. Di perairan tropikal mana-mana jenis sarung tangan boleh dipakai. Untuk air sejuk, biasanya sarung tangan neoprena ataupun miten digunakan. Bila memilih sarung tangan pastikan anda masih boleh mengendalikan alatan menyelam selepas memakainya. Dengan perlindungan yang diberi oleh sarung tangan anda menjadi lebih terpikat untuk menyentuh hidupan laut. Ini perlu dielakkan kerana hanya dengan menyentuh mereka, anda mungkin mencedera ataupun mencacatkan hidupan tersebut. Ikan-ikan juga diselaputi oleh lapisan lendir yang melindung mereka dari jangkitan dan parasit.

0 comments:
Post a Comment